SK KAMPONG DACHING - 1 September 2016, seramai 37 calon UPSR sekolah ini telah diraikan dalam Majlis Mohon Restu sebagai penyuntik semangat sebelum menduduki peperiksaan pada 5-8 September ini. Program Majis Mohon Restu dilaksanakan dengan tujuan sebagai satu strategi membugar motivasi murid agar mereka sedar bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi UPSR. Sebaliknya doa dan Restu dari guru dan ibu bapa sentiasa mengiringi mereka.Program ini juga diharapkan dapat menyedarkan kepada murid bahawa kejayaan dan kecemerlangan mereka adalah sesuatu yang menjadi keutamaan sekolah. Pada bahu mereka disandarkan segala harapan daripada pihak sekolah dan ibu bapa, agar mereka dapat berusaha bersungguh-sungguh kerana kejayaan yang diharapkan itu nanti merupakan hasil yang mahu dituai. Semua calon UPSR seumpama benih tanaman dan harapan sekolah ialah agar benih yang ditanam bukan setakat subur tetapi menghasilkan hasil yang berganda. Majlis yang diadakan saban tahun ini antara lain dimulakan dengan Bacaan Doa, Ucapan Guru Besar dan Ucapan daripada Wakil Guru Tahun 6. Kemuncak majlis ialah sesi bersalam-salaman antara murid dan guru telah dijalankan. Kepada calon UPSR selamat menduduki peperiksaan. Semoga berjaya...
Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh ustaz Mohd Fadzil
Barisan guru-guru lelaki yang turut menadah tangan memanjatkan doa
Amanat daripada Tuan Guru Besar , En. Shamsuddin b Mohamad
Ucapan oleh wakil guru tahun 6, 2016
Wajah-wajah calon UPSR 2016
Majlis diakhiri dengan bersalam-salaman antara guru dan murid